Wednesday, October 22, 2008

Isu Penuntut Islam di IPT : Pergaulan Bebas

Di alaf ini, banyak senario yang berlaku di kalangan mahasiswa yang tidak lagi mementingkan nilai-nilai Islam di dalam pergaulan seharian di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Di sana sini, kita dapat lihat mereka ini tanpa segan silu bergaul dengan mesra, bertepuk tamper, berpegangan tangan dan sebagainya mengira batasan yang digariskan oleh syarak. Jika kita lihat secara kasar, perkara ini hanya dipandang ringan oleh sesetengah pihak. Lebih memburukkan lagi, ada yang menganggap jika tidak ada percampuran lelaki dan perempuan maka akan dikatakan tidak mahu menerima perubahan dan tidak mengikut peredaran zaman. Sedangkan apa sahaja perkara yang ditegah dan dilarang oleh agama itu ada hikmah disebaliknya.
Hal yang demikian, ketahuilah bahawasanya pergaulan bebas ini boleh membawa kepada keburukan. Maka sedarlah wahai masyarakat semua, sesungguhnya kita tidak boleh menuding jari siapa yang bersalah dalam hal ini. Sebaliknya, kita hendaklah sama-sama untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Tuesday, October 21, 2008

Ilmu-ilmu Islam

Ilmu adalah merupakan satu aset yang akan terus kekal selama-lamanya. Dengan ilmu, nyawa seseorang itu akan terus hidup walaupun dirinya terkujur kaku di bawah bumi. Islam adalah agama yang sangat menerapkan kepentingan menguasai ilmu di dalam hati dan jiwa setiap muslim sehinggakan seawal-awal bicara tuhan yang dihadiahkan kepada Rasulullah adalah mutiara firman yang membicarakan perihal salah satu cabang ilmu.
Kebangkitan masyarakat yang mendambakan ilmu pengetahuan terus wujud dan subur di dalam komuniti muslim hinggakan generasi hari ini dapat melihat khazanah ilmu Islam yang terlalu menakjubkan sebagai hasil tinggalan generasi terdahulu.
Sudah sampai masanya pelajar agama perlu serius dalam usaha untuk menguasai ilmu Islam semata-mata kerana ingin merubah suasana hanyir masyarakat Islam pada hari ini dengan membina ketamadunan ilmu di dalam kota diri masing-masing kerana satu-satunya jalan untuk menjulang kembali maruah umat Islam adalah dengan cara kesedaran dan kefahaman yang merupakan buah kepada nilai ilmu yang berpandukan wahyu.

Undang-undang Islam sebagai panduan

Keimanan dan perundangan tidak dapat dipisahkan. Umpama irama dan lagu. Perundangan merupakan sebahagian daripada keimanan itu sendiri. Perundangan dalam Islam ialah suatu peraturan hidup yang terperinci di mana ia dapat mengatur kehidupan manusia dalam hubungannya dengan penciptanya dan dengan anggota masyarakatnya , yang secara umum bermula dengan keluarganya.
Perundangan Islam menyarankan dan mengemukakan bimbingan dan panduan mengatur kehidupan bagi kepentingan dan kesejahteraan manusia itu sendiri. Tujuannya tidak lain untuk melahirkan manusia yang sejati, keluarga yang bahagia dan masyarakat yang teguh serta mewujudkan satu kehidupan manusia yang sempurna dan lengkap. Perundangan bermula dengan individu itu sendiri yang membimbing cara hidup yang betul melalui ibadat , mengerjakan segala perintah suruhan serta meninggalkan segala larangan Allah s.w.t.. Tambahan lagi ibadat mengawal hubungan seseorang dengan anggota lain di dalam sesebuah masyarakat kerana ia menimbulkan kesedarannya bahawa Allah swt sentiasa melihat dan tahu apa yang tersirat dan yang tersurat.Dengan keyakinan yang utuh ini kita akan cenderung melakukan apa yang benar dan betul ; yang baik dan murni kerana kita tahu bahawa Allah itu Maha Melihat.
Syariah merupakan satu sistem perundangan yang unggul dan jitu , yang telah dilaksanakan secara eksklusif ke atas umat Islam.Ia berkemampuan menghadapi segala perubahan sosial di samping memajukan suatu tamadun besar yang masih wujud sebagai satu daya yang hidup.Seandainya negara-negara Islam tidak bersikap teragak-agak dan rasa malu sebaliknya mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan hukum syariah ini , maka ianya akan sekali lagi berkembang menjadi satu daya penggerak dan kuasa yang memerintah urusan dunia.Hanya dengan cara inilah undang-undang syariah mempunyai maruah dan kewibawaan yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah swt serta Rasul-Nya.

Ekonomi Islam

Sebagai orang Islam, kita haruslah kembali kepada kekuatan ekonomi yang merupakan penggerak utama kepada kemajuan ummah. Dengan segala kemudahan infrastruktur dan pembangunan modal insan yang ditawarkan, generasi muda Islam haruslah bangkit ‘menawan’ sistem ekonomi yang ada pada masa kini yang telah dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu.
Misalnya, dalam perbankan Islam yang diaplikasikan di dalam negara-negara Islam yang lain. Selepas 20 tahun, sistem kewangan dan perbankan Islam telah diperkenalkan. Ia telah menunjukkan penglibatan orang bukan Islam dalam perbankkan Islam yang membanggakan. Ini memperlihatkan muamalat Islam semakin diterima oleh pelbagai peringkat masyarakat.
Selain itu, tenaga muda Islam perlulah bijak mengambil peluang dalam bidang perniagaan dan keusahawanan kerana penglibatan mereka masih lagi belum memberangsangkan. Oleh itu, golongan ini perlulah dilatih dengan ilmu-ilmu perniagaan dan didedahkan dengan dunia ekonomi, pasaran saham dan kewangan sehinggalah ke peringkat global.
Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah bersama-sama meningkatkan lagi ekonomi kita agar kita tidak mudah digugat oleh anasir-anasir luar. Kita hendaklah sama-sama memajukan ekonomi Islam supaya tidak mundur.

Friday, October 10, 2008

PENGHAYATAN ISLAM DALAM DIRI

Adalah tidak bermakna jika seorang muslim tidak menghayati tuntutan ajaran Islam dan ia akan menjadi sia-sia semata-mata.Justeru, keadaan ini boleh mengaibkan Islam itu sendiri sebagai agama yang suci. Di samping itu, ia turut menggambarkan dan mencerminkan sikap seorng muslim yang tidak tahu mensyukuri nikmat yang Allah s.w.t. berikan. Islam merupakan satu kurniaan yang amat besar maknanya dan bernilai kepada mereka yang memahami dengan tepat hakikat makna hidup dan kehidupan.
Namun begitu, manusia mudah mengaku dan mengiktiraf dirinya sebagai seorang muslim tetapi sentiasa mengabaikan tuntutan ajaran Islam sama ada yang berbentuk suruhan mahupun larangan. Contohnya, mereka yang melakukan jenayah agama yang berat kebanyakkan terdiri daripada orang muslim itu sendiri. Keadaan ini menjadi lumrah sehingga ia tidak perlu lagi dibuktikan dengan apa juga bentuk perangkaan atau statistik tertentu.
Oleh itu, bagi tidak terus-menerus terperangkap dalam kancah sikap mengkufuri nikmat Allah s.w.t. dan terus melakukan kerja yang sia-sia yang seterusnya boleh menjatuhkan nama baik agama Islam itu sendiri, maka umat Islam terbabit perlu kembali menghayati secara tepat ajaran Islam dalam segenap sektor kehidupan harian mereka.

AKIDAH UMAT ISLAM

Kebanyakkan orang-orang Islam kini cenderung untuk kembali semula menghayati dan memahami ajaran Islam. Walau bagaimanapun, kesungguhan itu kadangkala boleh menyebabkan golongan ini terjebak kepada kancah ajaran-ajaran sesat apabila tidak mempunyai pengetahuan agama dan ilmu yang mencukupi. Hanya ada satu perkara yang akan memacu dan membawa kita ke arah yang sihat dan selamat iaitu kesucian akidah sebenar perlu diterapkan dalam diri umat Islam selain kefahaman tentang agama Islam itu sendiri. Masa kini timbul banyak ajaran sesat yang menyimpang jauh daripada landasan akidah sebenar. Hakikatnya, akidah yang suci tidak akan hanya mengikut akal semata-mata tetapi mengikut tauhid mengesakan Allah s.w.t..
Seperti mana Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. memurnikan akidah penduduk Islam Madinah untuk membuktikan keutuhan Islam itu sendiri adalah asas ketaqwaan dan kesucian iman yang sebenar. Di mana Al-Quran itu diturunkan selama 23 tahun secara berperingkat-peringkat dan kebanyakkan ayat al-Quran yang menjurus kepada pemurnian akidah yang jitu bagi menjamin kejayaan manusia. Alasan inilah yang perlu kita semai untuk berjaya sebagai umat yang cemerlang dalam semua aspek kehidupan.Kekosongan akidah Islam dalam jiwa seseorang muslim dan pegangan sebenar agama akan membuatkan seseorang itu akan lari menyimpang jauh daripada landasan dan tujuan manusia diciptakan di bumi ini.
Dunia semakin hari semakin menuju kepenghujungnya. Banyak isu-isu yang akan timbul terutama yang melibatkan soal kepercayaan dan ketuhanan. Jadi, untuk selamat, kita perlu kuatkan asas agama, akidah dan tauhid kepada Allah s.w.t.. Seruan ini sama-sama kita pikul untuk membuktikan bahawa kita benar-benar beriman kepada Allah, Tuhan yang memiliki segala-galanya yang berhak disembah.Tiada gunanya jika kita memiliki kemajuan diri dalam segala bidang tetapi kita leka dari segi akidah dan asas agama itu sendiri. Akidah yang jitu dan mantap sudah pasti akan menempa kejayaan buat kita. Marilah sama-sama kita pikul tugas dan tanggungjawab ini. Kita tidak boleh hanya membiarkan kepada mereka yang berjawatan rasmi. Isu akidah adalah perkara asas dan tunjang kepada agama Islam yang suci ini.

MEMAHAMI ISLAM & POLITIK

Tentang isu Islam dan politik sememangnya diakui bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap yang mana tidak memisahkan di antara urusan kehidupan dan urusan agama. Oleh itu, Islam juga tidak dapat dipisahkan dari urusan politik dan pemerintahan Negara. Maka dasar negara kita juga pada pandangan saya tidak memisahkan urusan politik dari agama iaitu dengan dasar kesepaduan pentadbiran negara dan agama dalam institusi pendidikan, aktiviti sosial, kewangan, ekonomi, teknologi dan sebagainya.
Pemerintah kita mengakui konsep syura melalui forum-forum tertentu, melaksanakan pilihan raya secara bebas dan demokratik, malah tidak pernah mengenepikan sebarang parti politik yng memenangi pilihan raya untuk menduduki kerusi parlimen atau negeri sehingga membentuk kerajaan pun dibenarkan menurut pilihan majoriti rakyat. Dari sudut yang lain, pemerintah kita juga sebenarnya memberikan perlindungan undang-undang terhadap agama melalui perlembagaan negara yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan yang memberi erti bahawa urusan kerajaan dan tidak dapat diganggu gugat atau dipertikai oleh mana-mana pihak.
Oleh itu, di samping mengakui bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan, maka dalam mentafsirkan isu agama dan politik haruslah bersifat sejagat, terlepas dari pendekatan sempit dan melulu yang biasanya membentuk sikap fanatik dan mempunyai kepentingan yang tertentu.

Sunday, September 14, 2008

Politik Dalam Islam

Politik merupakan suatu ilmu pemerintahan atau ilmu siyasah, iaitu 'ilmu tata negara. Pengertian dan konsep politik atau siasah di dalam Islam sangat berbeza dengan pengertian dan konsep yang digunakan oleh orang-orang yang bukan Islam. Politik dalam Islam menjuruskan kegiatan ummah kepada usaha untuk melaksanakan syari'at Allah melalui sistem kenegaraan dan pemerintahan. la bertujuan untuk menyimpulkan segala sudut dan aspek Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai sahsiah untuk menerajui dan melaksanakan undang undang.
Politik merupakan suatu ilmu pemerintahan atau ilmu siyasah, iaitu 'ilmu tata negara. Pengertian dan konsep politik atau siasah di dalam Islam sangat berbeza dengan pengertian dan konsep yang digunakan oleh orang-orang yang bukan Islam. Politik dalam Islam menjuruskan kegiatan ummah kepada usaha untuk melaksanakan syari'at Allah melalui sistem kenegaraan dan pemerintahan. la bertujuan untuk menyimpulkan segala sudut dan aspek Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai sahsiah untuk menerajui dan melaksanakan undang undang.
Pengertian ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
"Dan katakanlah: Ya Tuhan ku, masukkanlah aku dengan cara yang baik dan keluarkanlah aku dengan cara yang baik dan berikanlah kepadaku daripada sisi Mu kekuasaan yang menolong." (AI Isra': 80)
Berdasarkan landasan inilah para ulama menyatakan bahawa:
"Allah menghapuskan sesuatu perkara melalui kekuasaan negara apa yang tidak dihapuskan Nya meIaiui al Qur'an".
Asas asas sistem politik Islam ialah:
i) Hakimiyyah Ilahiyyah
ii) Risalah
iii) Khalifah
Prinsip prinsip Utama Sistem Politik Islam :
i) Musyawarah
ii) Keadilan
iii) Kebebasan
iv) Persamaan
v) Hak Menghisab Pihak Pemerintah
Tujuan Politik Menurut Islam :
Para fuqaha Islam telah menggariskan sepuluh perkara penting sebagai tujuan kepada sistem politik dan pemerintahan Islam.
i. Memelihara keimanan menurut prinsip prinsip yang telah disepakati oleh 'ulama' salaf daripada kalangan umat Islam
ii. Melaksanakan proses pengadilan di kalangan rakyat dan menyelesaikan masalah di kalangan orang orang yang berselisih
iii. Menjaga keamanan daerah daerah Islam agar manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai
iv. Melaksanakan hukuman hukuman yang ditetapkan syara' demi melindungi hak hak manusia
v. Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar
vi. Melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam
vii. Mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat dan sedekah sebagai mana yang ditetapkan oleh syara'
viii. Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros ataupun secara kikir
ix. Mengangkat pegawai pegawai yang cekap dan jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara Menjalankan pengaualan dan pemeriksaan yang rapi di dalam hat ehwal amam demi untuk memimpin negara dan melindungi al Din.

Pandangan Ulama’ Mengenai Negara Islam

Pada prinsipnya negara Islam ialah bumi yang diperintah oleh Khalifah yang berkuasa dan berdaulat di kawasan yang dikuasainya dan terlaksana di dalamnya dasar –dasar dan hukum-hukum Islam. Di dalam memberikan definisi mengenai negara Islam, beberapa orang ulama merujuk kepada pengertian asal ini. Di antara mereka ialah :-
i) al-Kasani
Apa yang dikatakan negara Islam atau negara kafir dengan meletakkan kepada negara itu Islam atau kafir ialah kerana dominan di dalam negara itu ialah Islam atau kafir. Yang menjadi ukuran kepada dominasi itu ialah hukum-hukum keduanya. Jika yang dominan itu ialah hukum kafir, maka negara itu adalah negara kafir. Pemakaian perkataan kafir kepada negara itu dikira sah. Begitulah juga jadinya apabila sesebuah negara itu dinamakan sebagai negara Islam. Tidak ada syarat lain melainkan kerana perlaksanaan hukum Islam di dalamnya.
ii) Abu Yusuf dan Muhammad
Negara yang tidak tertegak di dalamnya syariat Allah s.w.t. bukanlah negara Islam tetapi adalah negara kafir walaupun rakyatnya beragama Islam.
Adalah jelas bahawa pandangan mereka merujuk kepada kedudukkan negara Islam mithali tanpa mengambil kira peristiwa dan perkembangan yang berlaku selepas zaman Rasulullah s.a.w. dan khulafa’ ar-Rasyidun yang telah membawa perubahan besar dari segi sistem dan lahir keadaan baru yang daripada beberapa aspek berlawanan dengan keadaan di zaman Nabi s.a.w.
Rujukan
Datuk Hj. Mohd Nakhaie Hj. Ahmad. Pendakwah & Pembentukan Masyarakat Bertamadun. 2001. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ( YADIM ).

KELEBIHAN PUASA RAMADHAN

IBADAH puasa merupakan sebaik-baik ibadah dan seagung-agung ketaatan kepada Allah Taala. Ia dinyatakan di dalam nas sama ada al-Quran mahupun As-Sunnah. Di antara kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadan ialah:
Pertama: Ia difardukan ke atas semua umat sepanjang zaman. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. (al-Baqarah : 183)
Kedua: Ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: “ Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu”. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa sepenuh keimanan ialah reda sepenuhnya dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, manakala pengharapan pula bermaksud mengharapkan ganjaran pahala dari-Nya dan tidak ada perasaan syak terhadap janji-janji Allah SWT tersebut. Dengan itu orang yang berpuasa akan diampun dosanya yang telah dilakukan.
Abu Hurairah r.a juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “ Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi”. (riwayat Imam Muslim).
Ketiga: Puasa Ramadan juga tidak terhad pahalanya atau terikat dengan kadar tertentu kerana orang yang berpuasa akan diberi ganjaran yang hanya ditentukan oleh Allah.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda bahawa Allah SWT berfirman (Hadis Qudsi): “ “Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus “.
Puasa itu adalah benteng, oleh itu apabila kamu berpuasa maka janganlah kamu berkata keji dan berbuat nista, jika ada orang mencela kamu atau mengajak kamu bergaduh maka katakanlah kepadanya, “Saya sedang berpuasa”. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad dalam genggaman tangan-Nya (kuasa-Nya), sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, pertama; kegembiraan ketika berbuka dan kedua; kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya kelak. (riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).
(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm).

Friday, September 12, 2008

Peranan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Anak-Anak

Pendidikan yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak mestilah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Apabila perkara tersebut menjadi dasar dan pegangan pasti akan terdidiklah anak-anak dengan syariat Islam yang sebenar. Pada tabiinya, anak-anak dalam keadaan suci bersih. Maka ditangan ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. Seperti mana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
'Tiap-tiap anak yang dilahirkan berkeadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi'
(Riwayat Bukhari)
Dalam mendidik anak-anak, ciri-ciri terpenting yang perlu ada seperti sifat kelembutan, penyayang dan sabar dalam melayan karenah anak-anak. Ibu bapa perlulah bersama-sama melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak. Bukan hanya satu pihak sahaja dalam mendidik anak-anak. Urusan pembelajaran dan pendidikan anak-anak tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada guru dan para pendidik. Bagi membentuk anak-anak menjadi insan yang soleh dan berguna kepada masyarakat, agama dan negara, ibu bapa mestilah berubah agar dapat mewujudkan persekitaran yang baik.
Setiap anak-anak perlu menuntut ilmu bukan hanya sekadar ilmu keduniaan semata-mata tetapi perlu kepada ilmu akhirat supaya menjadi bekalan dunia akhirat. Apabila kedua-dua ilmu itu diperolehi, sudah pasti anak-anak dapat menyeimbangkan antara ibadat khusus dan pekerjaan supaya antara kedua-duanya tidak diabaikan. Sesungguhnya anak-anak yang mempunyai pegangan yang kuat dalam Islam, tidak akan mudah terjebak kepada kancah kemaksiatan dan kehinaan seterusnya membawa keaiban kepada kedua ibu bapanya.

Pembinaan Sesebuah Keluarga Islam.

Islam telah menggariskan satu panduan hidup yang lengkap dan rapi bagi segala perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Keharmonian sesebuah keluarga adalah faktor penting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang sejahtera bahagia dan cemerlang. Setiap ahli keluarga mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk keluarga yang cemerlang. Suami mempunyai hak ke atas isteri dan anak-anak dan demikian jugalah sebaliknya.
Islam merupakan satu garis panduan yang penting dalam membentuk sesebuah keluarga. Dalam membentuk hubungan kekeluargaan tersebut, asas syariah, akidah dan akhlak Islam perlu ada. Suami isteri memainkan peranan untuk mendokong dan menghayati konsep al-Mawaddah dan al-Rahmah sebagaimana dalam firman Allah s.w.t dalam surah Al-Rum ayat 21 yang bermaksud;
'Antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t ianya mencipta untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah), sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda orang-orang yang berfikir'.
Di dalam membentuk sesebuah keluarga, terdapat beberapa ciri yang perlu ada dalam keluarga itu sendiri. Antaranya memiliki sifat bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab antara satu sama lain. Konsep ketakwaan kepada Allah s.w.t harus dititikberatkan dalam setiap ahli keluarga iaitu taat segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Solat lima waktu contohnya, tidak seharusnya diabaikan oleh setiap ahli keluarga. Anak-anak yang masih kecil seharusnya dididik mengerjakan solat supaya apabila dewasa nanti mereka memahami bahawa sembahyang itu adalah wajib dan sebagai tiang agama bagi setiap umat Islam.
Keluarga yang cemerlang memerlukan anak-anak yang terdidik dengan sifat kasih sayang, penuh ketaatan dan rasa tanggungjawab. Anak merupakan anugerah yang tidak terhingga daripada Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Kelahirannya seumpama kain putih bersih daripada noda dan kekotoran duniawi. Justeru itu, ibu bapalah yang mencorakkan warna-warnanya. Dengan didikan yang sempurna ini, anak-anak dapat memikirkan perkara yang baik dan buruk, seterusnya mentaati ibu bapanya yang melahirkannya ke dunia. Taat kepada ibu bapa ini bukanlah taat kepada perkara yang mungkar seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain, tetapi ketaatan seorang anak itu adalah atas perkara yang makruf dan yang diredhai Allah s.w.t.