Tuesday, October 21, 2008

Undang-undang Islam sebagai panduan

Keimanan dan perundangan tidak dapat dipisahkan. Umpama irama dan lagu. Perundangan merupakan sebahagian daripada keimanan itu sendiri. Perundangan dalam Islam ialah suatu peraturan hidup yang terperinci di mana ia dapat mengatur kehidupan manusia dalam hubungannya dengan penciptanya dan dengan anggota masyarakatnya , yang secara umum bermula dengan keluarganya.
Perundangan Islam menyarankan dan mengemukakan bimbingan dan panduan mengatur kehidupan bagi kepentingan dan kesejahteraan manusia itu sendiri. Tujuannya tidak lain untuk melahirkan manusia yang sejati, keluarga yang bahagia dan masyarakat yang teguh serta mewujudkan satu kehidupan manusia yang sempurna dan lengkap. Perundangan bermula dengan individu itu sendiri yang membimbing cara hidup yang betul melalui ibadat , mengerjakan segala perintah suruhan serta meninggalkan segala larangan Allah s.w.t.. Tambahan lagi ibadat mengawal hubungan seseorang dengan anggota lain di dalam sesebuah masyarakat kerana ia menimbulkan kesedarannya bahawa Allah swt sentiasa melihat dan tahu apa yang tersirat dan yang tersurat.Dengan keyakinan yang utuh ini kita akan cenderung melakukan apa yang benar dan betul ; yang baik dan murni kerana kita tahu bahawa Allah itu Maha Melihat.
Syariah merupakan satu sistem perundangan yang unggul dan jitu , yang telah dilaksanakan secara eksklusif ke atas umat Islam.Ia berkemampuan menghadapi segala perubahan sosial di samping memajukan suatu tamadun besar yang masih wujud sebagai satu daya yang hidup.Seandainya negara-negara Islam tidak bersikap teragak-agak dan rasa malu sebaliknya mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan hukum syariah ini , maka ianya akan sekali lagi berkembang menjadi satu daya penggerak dan kuasa yang memerintah urusan dunia.Hanya dengan cara inilah undang-undang syariah mempunyai maruah dan kewibawaan yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah swt serta Rasul-Nya.

1 comment:

nor aini said...

assalamualaikum..
pada pendapat saya,artikel yang dibuat adalah menarik tetapi perlu banyak lagi tambahan agar dapat dikongsi bersama dan dapat menambahkan maklumat pembaca.
-az-zahrah-