Friday, October 10, 2008

MEMAHAMI ISLAM & POLITIK

Tentang isu Islam dan politik sememangnya diakui bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap yang mana tidak memisahkan di antara urusan kehidupan dan urusan agama. Oleh itu, Islam juga tidak dapat dipisahkan dari urusan politik dan pemerintahan Negara. Maka dasar negara kita juga pada pandangan saya tidak memisahkan urusan politik dari agama iaitu dengan dasar kesepaduan pentadbiran negara dan agama dalam institusi pendidikan, aktiviti sosial, kewangan, ekonomi, teknologi dan sebagainya.
Pemerintah kita mengakui konsep syura melalui forum-forum tertentu, melaksanakan pilihan raya secara bebas dan demokratik, malah tidak pernah mengenepikan sebarang parti politik yng memenangi pilihan raya untuk menduduki kerusi parlimen atau negeri sehingga membentuk kerajaan pun dibenarkan menurut pilihan majoriti rakyat. Dari sudut yang lain, pemerintah kita juga sebenarnya memberikan perlindungan undang-undang terhadap agama melalui perlembagaan negara yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan yang memberi erti bahawa urusan kerajaan dan tidak dapat diganggu gugat atau dipertikai oleh mana-mana pihak.
Oleh itu, di samping mengakui bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan, maka dalam mentafsirkan isu agama dan politik haruslah bersifat sejagat, terlepas dari pendekatan sempit dan melulu yang biasanya membentuk sikap fanatik dan mempunyai kepentingan yang tertentu.

No comments: