Sunday, September 14, 2008

Pandangan Ulama’ Mengenai Negara Islam

Pada prinsipnya negara Islam ialah bumi yang diperintah oleh Khalifah yang berkuasa dan berdaulat di kawasan yang dikuasainya dan terlaksana di dalamnya dasar –dasar dan hukum-hukum Islam. Di dalam memberikan definisi mengenai negara Islam, beberapa orang ulama merujuk kepada pengertian asal ini. Di antara mereka ialah :-
i) al-Kasani
Apa yang dikatakan negara Islam atau negara kafir dengan meletakkan kepada negara itu Islam atau kafir ialah kerana dominan di dalam negara itu ialah Islam atau kafir. Yang menjadi ukuran kepada dominasi itu ialah hukum-hukum keduanya. Jika yang dominan itu ialah hukum kafir, maka negara itu adalah negara kafir. Pemakaian perkataan kafir kepada negara itu dikira sah. Begitulah juga jadinya apabila sesebuah negara itu dinamakan sebagai negara Islam. Tidak ada syarat lain melainkan kerana perlaksanaan hukum Islam di dalamnya.
ii) Abu Yusuf dan Muhammad
Negara yang tidak tertegak di dalamnya syariat Allah s.w.t. bukanlah negara Islam tetapi adalah negara kafir walaupun rakyatnya beragama Islam.
Adalah jelas bahawa pandangan mereka merujuk kepada kedudukkan negara Islam mithali tanpa mengambil kira peristiwa dan perkembangan yang berlaku selepas zaman Rasulullah s.a.w. dan khulafa’ ar-Rasyidun yang telah membawa perubahan besar dari segi sistem dan lahir keadaan baru yang daripada beberapa aspek berlawanan dengan keadaan di zaman Nabi s.a.w.
Rujukan
Datuk Hj. Mohd Nakhaie Hj. Ahmad. Pendakwah & Pembentukan Masyarakat Bertamadun. 2001. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ( YADIM ).

No comments: