Sunday, September 14, 2008

KELEBIHAN PUASA RAMADHAN

IBADAH puasa merupakan sebaik-baik ibadah dan seagung-agung ketaatan kepada Allah Taala. Ia dinyatakan di dalam nas sama ada al-Quran mahupun As-Sunnah. Di antara kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadan ialah:
Pertama: Ia difardukan ke atas semua umat sepanjang zaman. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. (al-Baqarah : 183)
Kedua: Ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: “ Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu”. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa sepenuh keimanan ialah reda sepenuhnya dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, manakala pengharapan pula bermaksud mengharapkan ganjaran pahala dari-Nya dan tidak ada perasaan syak terhadap janji-janji Allah SWT tersebut. Dengan itu orang yang berpuasa akan diampun dosanya yang telah dilakukan.
Abu Hurairah r.a juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “ Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi”. (riwayat Imam Muslim).
Ketiga: Puasa Ramadan juga tidak terhad pahalanya atau terikat dengan kadar tertentu kerana orang yang berpuasa akan diberi ganjaran yang hanya ditentukan oleh Allah.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda bahawa Allah SWT berfirman (Hadis Qudsi): “ “Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus “.
Puasa itu adalah benteng, oleh itu apabila kamu berpuasa maka janganlah kamu berkata keji dan berbuat nista, jika ada orang mencela kamu atau mengajak kamu bergaduh maka katakanlah kepadanya, “Saya sedang berpuasa”. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad dalam genggaman tangan-Nya (kuasa-Nya), sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, pertama; kegembiraan ketika berbuka dan kedua; kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya kelak. (riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).
(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm).

No comments: