Friday, September 12, 2008

Peranan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Anak-Anak

Pendidikan yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak mestilah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Apabila perkara tersebut menjadi dasar dan pegangan pasti akan terdidiklah anak-anak dengan syariat Islam yang sebenar. Pada tabiinya, anak-anak dalam keadaan suci bersih. Maka ditangan ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. Seperti mana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
'Tiap-tiap anak yang dilahirkan berkeadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi'
(Riwayat Bukhari)
Dalam mendidik anak-anak, ciri-ciri terpenting yang perlu ada seperti sifat kelembutan, penyayang dan sabar dalam melayan karenah anak-anak. Ibu bapa perlulah bersama-sama melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak. Bukan hanya satu pihak sahaja dalam mendidik anak-anak. Urusan pembelajaran dan pendidikan anak-anak tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada guru dan para pendidik. Bagi membentuk anak-anak menjadi insan yang soleh dan berguna kepada masyarakat, agama dan negara, ibu bapa mestilah berubah agar dapat mewujudkan persekitaran yang baik.
Setiap anak-anak perlu menuntut ilmu bukan hanya sekadar ilmu keduniaan semata-mata tetapi perlu kepada ilmu akhirat supaya menjadi bekalan dunia akhirat. Apabila kedua-dua ilmu itu diperolehi, sudah pasti anak-anak dapat menyeimbangkan antara ibadat khusus dan pekerjaan supaya antara kedua-duanya tidak diabaikan. Sesungguhnya anak-anak yang mempunyai pegangan yang kuat dalam Islam, tidak akan mudah terjebak kepada kancah kemaksiatan dan kehinaan seterusnya membawa keaiban kepada kedua ibu bapanya.

No comments: