Wednesday, October 22, 2008

Isu Penuntut Islam di IPT : Pergaulan Bebas

Di alaf ini, banyak senario yang berlaku di kalangan mahasiswa yang tidak lagi mementingkan nilai-nilai Islam di dalam pergaulan seharian di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Di sana sini, kita dapat lihat mereka ini tanpa segan silu bergaul dengan mesra, bertepuk tamper, berpegangan tangan dan sebagainya mengira batasan yang digariskan oleh syarak. Jika kita lihat secara kasar, perkara ini hanya dipandang ringan oleh sesetengah pihak. Lebih memburukkan lagi, ada yang menganggap jika tidak ada percampuran lelaki dan perempuan maka akan dikatakan tidak mahu menerima perubahan dan tidak mengikut peredaran zaman. Sedangkan apa sahaja perkara yang ditegah dan dilarang oleh agama itu ada hikmah disebaliknya.
Hal yang demikian, ketahuilah bahawasanya pergaulan bebas ini boleh membawa kepada keburukan. Maka sedarlah wahai masyarakat semua, sesungguhnya kita tidak boleh menuding jari siapa yang bersalah dalam hal ini. Sebaliknya, kita hendaklah sama-sama untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Tuesday, October 21, 2008

Ilmu-ilmu Islam

Ilmu adalah merupakan satu aset yang akan terus kekal selama-lamanya. Dengan ilmu, nyawa seseorang itu akan terus hidup walaupun dirinya terkujur kaku di bawah bumi. Islam adalah agama yang sangat menerapkan kepentingan menguasai ilmu di dalam hati dan jiwa setiap muslim sehinggakan seawal-awal bicara tuhan yang dihadiahkan kepada Rasulullah adalah mutiara firman yang membicarakan perihal salah satu cabang ilmu.
Kebangkitan masyarakat yang mendambakan ilmu pengetahuan terus wujud dan subur di dalam komuniti muslim hinggakan generasi hari ini dapat melihat khazanah ilmu Islam yang terlalu menakjubkan sebagai hasil tinggalan generasi terdahulu.
Sudah sampai masanya pelajar agama perlu serius dalam usaha untuk menguasai ilmu Islam semata-mata kerana ingin merubah suasana hanyir masyarakat Islam pada hari ini dengan membina ketamadunan ilmu di dalam kota diri masing-masing kerana satu-satunya jalan untuk menjulang kembali maruah umat Islam adalah dengan cara kesedaran dan kefahaman yang merupakan buah kepada nilai ilmu yang berpandukan wahyu.

Undang-undang Islam sebagai panduan

Keimanan dan perundangan tidak dapat dipisahkan. Umpama irama dan lagu. Perundangan merupakan sebahagian daripada keimanan itu sendiri. Perundangan dalam Islam ialah suatu peraturan hidup yang terperinci di mana ia dapat mengatur kehidupan manusia dalam hubungannya dengan penciptanya dan dengan anggota masyarakatnya , yang secara umum bermula dengan keluarganya.
Perundangan Islam menyarankan dan mengemukakan bimbingan dan panduan mengatur kehidupan bagi kepentingan dan kesejahteraan manusia itu sendiri. Tujuannya tidak lain untuk melahirkan manusia yang sejati, keluarga yang bahagia dan masyarakat yang teguh serta mewujudkan satu kehidupan manusia yang sempurna dan lengkap. Perundangan bermula dengan individu itu sendiri yang membimbing cara hidup yang betul melalui ibadat , mengerjakan segala perintah suruhan serta meninggalkan segala larangan Allah s.w.t.. Tambahan lagi ibadat mengawal hubungan seseorang dengan anggota lain di dalam sesebuah masyarakat kerana ia menimbulkan kesedarannya bahawa Allah swt sentiasa melihat dan tahu apa yang tersirat dan yang tersurat.Dengan keyakinan yang utuh ini kita akan cenderung melakukan apa yang benar dan betul ; yang baik dan murni kerana kita tahu bahawa Allah itu Maha Melihat.
Syariah merupakan satu sistem perundangan yang unggul dan jitu , yang telah dilaksanakan secara eksklusif ke atas umat Islam.Ia berkemampuan menghadapi segala perubahan sosial di samping memajukan suatu tamadun besar yang masih wujud sebagai satu daya yang hidup.Seandainya negara-negara Islam tidak bersikap teragak-agak dan rasa malu sebaliknya mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan hukum syariah ini , maka ianya akan sekali lagi berkembang menjadi satu daya penggerak dan kuasa yang memerintah urusan dunia.Hanya dengan cara inilah undang-undang syariah mempunyai maruah dan kewibawaan yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah swt serta Rasul-Nya.

Ekonomi Islam

Sebagai orang Islam, kita haruslah kembali kepada kekuatan ekonomi yang merupakan penggerak utama kepada kemajuan ummah. Dengan segala kemudahan infrastruktur dan pembangunan modal insan yang ditawarkan, generasi muda Islam haruslah bangkit ‘menawan’ sistem ekonomi yang ada pada masa kini yang telah dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu.
Misalnya, dalam perbankan Islam yang diaplikasikan di dalam negara-negara Islam yang lain. Selepas 20 tahun, sistem kewangan dan perbankan Islam telah diperkenalkan. Ia telah menunjukkan penglibatan orang bukan Islam dalam perbankkan Islam yang membanggakan. Ini memperlihatkan muamalat Islam semakin diterima oleh pelbagai peringkat masyarakat.
Selain itu, tenaga muda Islam perlulah bijak mengambil peluang dalam bidang perniagaan dan keusahawanan kerana penglibatan mereka masih lagi belum memberangsangkan. Oleh itu, golongan ini perlulah dilatih dengan ilmu-ilmu perniagaan dan didedahkan dengan dunia ekonomi, pasaran saham dan kewangan sehinggalah ke peringkat global.
Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah bersama-sama meningkatkan lagi ekonomi kita agar kita tidak mudah digugat oleh anasir-anasir luar. Kita hendaklah sama-sama memajukan ekonomi Islam supaya tidak mundur.

Friday, October 10, 2008

PENGHAYATAN ISLAM DALAM DIRI

Adalah tidak bermakna jika seorang muslim tidak menghayati tuntutan ajaran Islam dan ia akan menjadi sia-sia semata-mata.Justeru, keadaan ini boleh mengaibkan Islam itu sendiri sebagai agama yang suci. Di samping itu, ia turut menggambarkan dan mencerminkan sikap seorng muslim yang tidak tahu mensyukuri nikmat yang Allah s.w.t. berikan. Islam merupakan satu kurniaan yang amat besar maknanya dan bernilai kepada mereka yang memahami dengan tepat hakikat makna hidup dan kehidupan.
Namun begitu, manusia mudah mengaku dan mengiktiraf dirinya sebagai seorang muslim tetapi sentiasa mengabaikan tuntutan ajaran Islam sama ada yang berbentuk suruhan mahupun larangan. Contohnya, mereka yang melakukan jenayah agama yang berat kebanyakkan terdiri daripada orang muslim itu sendiri. Keadaan ini menjadi lumrah sehingga ia tidak perlu lagi dibuktikan dengan apa juga bentuk perangkaan atau statistik tertentu.
Oleh itu, bagi tidak terus-menerus terperangkap dalam kancah sikap mengkufuri nikmat Allah s.w.t. dan terus melakukan kerja yang sia-sia yang seterusnya boleh menjatuhkan nama baik agama Islam itu sendiri, maka umat Islam terbabit perlu kembali menghayati secara tepat ajaran Islam dalam segenap sektor kehidupan harian mereka.

AKIDAH UMAT ISLAM

Kebanyakkan orang-orang Islam kini cenderung untuk kembali semula menghayati dan memahami ajaran Islam. Walau bagaimanapun, kesungguhan itu kadangkala boleh menyebabkan golongan ini terjebak kepada kancah ajaran-ajaran sesat apabila tidak mempunyai pengetahuan agama dan ilmu yang mencukupi. Hanya ada satu perkara yang akan memacu dan membawa kita ke arah yang sihat dan selamat iaitu kesucian akidah sebenar perlu diterapkan dalam diri umat Islam selain kefahaman tentang agama Islam itu sendiri. Masa kini timbul banyak ajaran sesat yang menyimpang jauh daripada landasan akidah sebenar. Hakikatnya, akidah yang suci tidak akan hanya mengikut akal semata-mata tetapi mengikut tauhid mengesakan Allah s.w.t..
Seperti mana Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. memurnikan akidah penduduk Islam Madinah untuk membuktikan keutuhan Islam itu sendiri adalah asas ketaqwaan dan kesucian iman yang sebenar. Di mana Al-Quran itu diturunkan selama 23 tahun secara berperingkat-peringkat dan kebanyakkan ayat al-Quran yang menjurus kepada pemurnian akidah yang jitu bagi menjamin kejayaan manusia. Alasan inilah yang perlu kita semai untuk berjaya sebagai umat yang cemerlang dalam semua aspek kehidupan.Kekosongan akidah Islam dalam jiwa seseorang muslim dan pegangan sebenar agama akan membuatkan seseorang itu akan lari menyimpang jauh daripada landasan dan tujuan manusia diciptakan di bumi ini.
Dunia semakin hari semakin menuju kepenghujungnya. Banyak isu-isu yang akan timbul terutama yang melibatkan soal kepercayaan dan ketuhanan. Jadi, untuk selamat, kita perlu kuatkan asas agama, akidah dan tauhid kepada Allah s.w.t.. Seruan ini sama-sama kita pikul untuk membuktikan bahawa kita benar-benar beriman kepada Allah, Tuhan yang memiliki segala-galanya yang berhak disembah.Tiada gunanya jika kita memiliki kemajuan diri dalam segala bidang tetapi kita leka dari segi akidah dan asas agama itu sendiri. Akidah yang jitu dan mantap sudah pasti akan menempa kejayaan buat kita. Marilah sama-sama kita pikul tugas dan tanggungjawab ini. Kita tidak boleh hanya membiarkan kepada mereka yang berjawatan rasmi. Isu akidah adalah perkara asas dan tunjang kepada agama Islam yang suci ini.

MEMAHAMI ISLAM & POLITIK

Tentang isu Islam dan politik sememangnya diakui bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap yang mana tidak memisahkan di antara urusan kehidupan dan urusan agama. Oleh itu, Islam juga tidak dapat dipisahkan dari urusan politik dan pemerintahan Negara. Maka dasar negara kita juga pada pandangan saya tidak memisahkan urusan politik dari agama iaitu dengan dasar kesepaduan pentadbiran negara dan agama dalam institusi pendidikan, aktiviti sosial, kewangan, ekonomi, teknologi dan sebagainya.
Pemerintah kita mengakui konsep syura melalui forum-forum tertentu, melaksanakan pilihan raya secara bebas dan demokratik, malah tidak pernah mengenepikan sebarang parti politik yng memenangi pilihan raya untuk menduduki kerusi parlimen atau negeri sehingga membentuk kerajaan pun dibenarkan menurut pilihan majoriti rakyat. Dari sudut yang lain, pemerintah kita juga sebenarnya memberikan perlindungan undang-undang terhadap agama melalui perlembagaan negara yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan yang memberi erti bahawa urusan kerajaan dan tidak dapat diganggu gugat atau dipertikai oleh mana-mana pihak.
Oleh itu, di samping mengakui bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan, maka dalam mentafsirkan isu agama dan politik haruslah bersifat sejagat, terlepas dari pendekatan sempit dan melulu yang biasanya membentuk sikap fanatik dan mempunyai kepentingan yang tertentu.